Dalam cinta sesama manusia di tahap emosi, sepasang kekasih
memandang antara satu sama lain berhadapan dibuai oleh rasa cukuplah mereka
berdua dalam dunia ini, segala akan penuh keindahan. Kelemahan pasangan pada
mulanya dirasakan ‘comel’ namun realiti hadir, kelemahan yang sama terasa rimas
diikuti rasa bosan. Sikap mengambil berat pada mulanya menjadi sebab cinta
berputik, akhirnya dirasakan terlalu mengawal kebebasan. Hadiah yang pada
awalnya terasa romantic dirasakan sebagai pembaziran wang. Inilah yang berlaku
bila arah tuju rasa semata-mata sesama manusia yang sama-sama tidak sempurna
dan tidak kekal.
Alangkah indah apabila anugerah cinta daripada Ar-Rahman,
Ar-Rahim dan Al- Wadud dikembalikan kepada-Nya. Manusia yang saling mencintai
berjalan seiring bersebelahan melihat satu arah ke hadapan iaitu misi dan visi
kehidupan yang telah disediakan oleh Allah Al-Ahad. Penyatuan dua hati yang
cinta dan benci sering bersilih ganti dibawa secara dinamik sebagai
tenagaberjalan menuju destinasi yang abadi.
Misi dan visi kehidupan jelas diberitahu melalu wahyu yang
termaktub dalam maksud firman Allah didalam Al-Quran : “Ingatlah ketika Tuhanmu
berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di
muka bumi’.” (Al-Baqarah 2:30)
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya
mereka menyembah-Ku.” (Adz-Dzariyat 51:56)
Penyatuan dua hati yang bercinta biarlah saling kuat
menguatkan dalam meningkat rasa kehambaan kepada Allah, sama-samajadi hamba
Allah, bukan memperhambakan antara satu sama lain seterusnya berganding bahu
memikul amanah sebagai khalifah di muka bumi.
Bila berlaku perselidihan pendapat, sebagai hamba Allah,
rujuklah wahyu supaya pandangan disatukan semula berasaskan ketetapan daripada Allah.
Ketika marah, sebagai hamba Allah, hadapkan hati kepada Al- ‘Afuw (Maha Pemaaf)
agar mampu diluahkan kemarahan itu dalam cara tindakan yang diredhai Allah.
Ketika Cinta membara, hadapkan hati kepada Al-Matin (Maha Kukuh) supaya
buaianperasaan oleh hawa nafsu dapat dikawal seterusnya diluahkan dalam
tindakan yang diredhai-Nya.
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah;
(tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.
Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahui…..” (Ar-Rum 30: 30)
No comments:
Post a Comment